Semoga sejahtera di sana, sahabatku Dee




Salah sebuah buku yang saya ketuai penerbitannya pada tahun 2015 ialah koleksi terbaik kartun Hello Bos, karya kartunis Zaidi Md. Yusop atau lebih dikenali sebagai Dee. Sebagai ketua Unit Buku di Utusan Karya Sdn. Bhd., saya berpendapat, kartun Hello Bos ini sangat istimewa. Ia telah disiarkan sejak 1991, mempunyai pengikut yang cukup ramai, sudah dianggap sebagai siri kartun lejen dan Dee sendiri adalah kartunis ikon bagi akhbar Utusan Malaysia.

Jangan sia-siakannya. Ini aset dan ikon kepada Utusan, kita perlu hargainya. Siri kartun Hello Bos perlu dihimpunkan dalam sebuah buku untuk menjadi koleksi kepada para peminatnya, juga sebagai dokumen sejarah dalam industri media dan dunia kartun negara.

Bos-bos semua setuju, dan seingat saya, kerja-kerja penerbitan ini bermula pada awal 2015 dengan sasaran untuk dilancarkan pada Pesta Buku Kuala Lumpur, penghujung April. Tetapi jangan terbitkan buku ini sekadar siap dan tempel-tempelan. Ia mesti ada kelainan.

Justeru, saya minta Dee tulis hal-hal di belakang tabir yang selama ini tidak diketahui oleh pembaca. Antaranya, siapa yang mula-mula mengetengahkan bakatnya sebagai kartunis? Dari mana dia mendapat idea hingga terhasillnya Hello Bos? Dan yang penting, siapakah sebenarnya watak Rosli, Bos, Liza dan watak-watak lain dalam kartun berkenaan. Mereka sebenarnya wujud, tetapi siapa? Adakah pekerja Utusan? Kenalannya kah?

Dalam buku itu juga Dee ceritakan pelbagai kisah di sebalik tabir, seperti hobinya mandi lombong semasa tinggal di Kampug Pandan Dalam, ada yang mendakwa kartunnya menghina Islam, menuduhnya memasang spy, dipelawa mengajar kartun di Korea Selatan, kena marah dengan cleaner, pekerja wanita menangis kerana mendakwa kartun Dee menyindir dirinya dan banyak lagi kisah-kisah lucu dan mengejutkan.

Kalau kartun Hello Bos yang disiarkan di Utusan hanya hitam putih, untuk buku ini kami tambah warna. Setiap halaman ada nota lawak. Banyak lagi kelainan yang kami buat dan Dee bekerja cukup tekun untuk menyudahkannya.

Umur kami hampir sebaya, Dee tua beberapa tahun saja daripada saya. Dee seorang yang sangat baik, sopan dan menghormati sahabat, maka kami bekerja dengan cukup seronok. Masing-masing ada tugas lain yang perlu dibuat, tapi dalam masa yang sama, kami tetap laksanakan tugas ini dengan happy. Kami kejar deadline dan akhirnya...




Saya sudah lupa tarikh tepatnya, tetapi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015, di PWTC, terlancarlah buku istimewa dari Dee dan Utusan Karya Sdn. Bhd. berjudul ROSLI MENGAMUK: 24 TAHUN KARTUN HARIAN HELLO BOS. Riuh rendahlah majlis pelancarannya, ditambah pula pelawak Joey jadi juruacara. Memang pecah perutlah beb. Hahaha...

Kami merancang untuk menghasilkan sebuah lagi koleksi sempena 25 tahun Hello Bos, tapi keadaan tidak mengizinkan. Rancangan itu terpaksa ditangguhkan. Nantilah sampai waktu sesuai, kami terbitkan koleksi kedua. Dee meneruskan kartunnya, saya pula dengan kerja-kerja lain di Unit Buku dan majalah.

30 November 2018, hari terakhir kami bertemu sebagai rakan sekerja. Saya mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan oleh Utusan, manakala Dee mahu meneruskan kerjayanya di situ. Ia hari yang amat sedih untuk kami semua. Memang sukar untuk kami yang telah berpuluh-puluh tahun bersama Utusan, hendak meninggalkan syarikat ini. Bagi yang tinggal pula, termasuk Dee, mereka turut bersedih kerana kehilangan kawan-kawan.

Selasa, 12 Februari lalu saya ke Utusan untuk satu urusan. Tidak disangka, salah satu tugasan yang perlu saya lakukan adalah bersama dengan Dee. Kami menyudahkan kerja itu pada ukul 7.10 malam. Dan tidak disangka juga itu adalah pertemuan terakhir saya dnegan Dee.

Hari ini saya mendapat berita mengejutkan -- Dee telah kembali ke pangkuan Ilahi pada pukul 7.15 pagi ini, akibat sesak nafas. Betul ke? Kan Dee muda lagi, baru 53 tahun. Dia sihat. Minggu lepas pun dia macam biasa saja, tidak mengadu sakit.

Tapi begitulah fitrah yang telah ditentukan Ilahi. Sampai waktunya, kita akan kembali kepadaNya. Tidak kira tua atau muda, sihat atau sakit... kerana dari situlah kita datang, sampai detiknya ke situ juga kita kembali, untuk menemui Dia yang mencipta kita. Sesungguhnya tubuh dan roh ini milikMu, ya Robb.

Tentunya saya dan sahabat-sahabat di Utusan terkejut dan bersedih dengan pemergian Dee secara tiba-tiba. Tapi tiada apa yang boleh kita lakukan, kecuali menghadiahkan doa yang baik untuk arwah dan bersedia pula dengan giliran masing-masing.

"Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan Redha dan diredhai."

(Buku ini akan jadi kenangan saya dengan Allahyarham Dee. Saya juga kehilangan sahabat penyokong Liverpool...)


















Comments

Popular posts from this blog

Intro

KUIH MENANGIS...