Intro


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh… & salam sejahtera.



Alhamdulillah, akhirnya wujud juga blog ni, kan? Hahaha… dah lama sebenarnya saya nak buat ni, kawan-kawan pun asyik cakap; ‘Hei Zul… buatlah blog… buatlah blog,’ dan saya pun cakap, `Aku nak tulis apa… aku nak tulis apa?’, `Kau tulis lah cerita hantu, cerita kau jalan-jalan pusing satu dunia, cerita kau kat Mastika, memoir, cerita lawak, cerita sedih, politik, satira, cara-cara menulis… aahhh… kau kan banyak cerita. Tulislah!’
Adoi… saya terus menung. Nak buat blog?
            Cerita seram? Cerita pergi Peru, Norway, Fiji, Afrika Selatan, Syria dsb? Memoir? Cerita 22 tahun di Mastika… bla bla bla… banyak tu. Nak mulakan yang mana satu dulu? Garu kepala sekejap.
            Sahabat lama saya, Chong Sheau Ching, pun cakap, ‘Hei Zul, you mesti ada blog. Tulislah, mesti ramai follower. Orang nak tau macam mana kehidupan you dan kawan-kawan you selepas ambil VSS. Hari ini buat apa, esok buat apa. Stres. Confuse. Down. Get inspired back. Tulislah, jadikan blog yang beri motivasi kepada orang lain.’ Ching Ching ini banyak membantu orang-orang susah, terutama wanita dan ibu tunggal tanpa mengira bangsa dan agama. Apabila saya menjadi Pengarang Mastika pada 2005, dia adalah orang pertama yang saya hubungi untuk menjadi kolumnis majalah (nanti saya ceritakan).
Dia kemudian menasihatkan saya supaya ke Bario, Sarawak, untuk menyertai program WHEE membantu masyarakat pedalaman di sana. Program itu dijalankan oleh anaknya, Rohnwyn dan kawan-kawannya yang terdiri daripada pelbagai kaum.
            Kata Ching Ching, di Bario dan Miri saya boleh panjat gunung, tengok langit, malam pandang bulan dan bintang, berjalan dalam hutan yang hijau, tengok kabus dan keindahan alam. Boleh jumpa masyarakat pedalaman yang kaya dengan budaya. Cerita hantu pun banyak.
            “Pergilah… masukkan dalam blog. Wah… tentu orang suka baca! Pembaca Mastika tentu tunggu cerita dari awak.”
            Saya pun terfikir, ya tak ya juga. Saya terbayangkan alangkah seronoknya kalau dapat berada di puncak gunung di Bario. Sambil menatap keindahan alam ciptaan Tuhan, saya menulis. Tulis memoir kisah hidup saya sebagai anak Felda, yang kemudian jadi Pengarang majalah Mastika. Tulis cerita seram. Cerita dari 50 negara yang telah saya lawati. Kisah di sebalik tabir Mastika. Kisah bunian. Bla bla bla…
            Saya sudah nampak tajuk buku saya itu… `Cerita Dari Gunung’!!! Covernya hijau. Ada gambar saya di puncak gunung. Saya pegang kamera, tengok ke kaki langit. Saya bawa beg sandang. Di sebelah saya ada orang Kelabit dengan pakaian tradisional. Perghh…
            Saya juga terbayang cover buku saya anak Felda yang jadi Pegarang Mastika. Ada gambar hitam putih saya masa kecil. Isi kandungannya cerita-cerita nostalgia, lucu, sedih, cinta yang malu-malu, mandi sungai, cerita zaman kanak-kanak…
            Saya juga terbayang buku seram. Isi kandungannya ialah cerita-cerita misteri dan hantu yang cukup banyak saya tulis. Covernya hitam. Ada gambar hantu.
            Ah… banyak sekali perancangannya. Tetapi selepas saya mengambil VSS dari Utusan (baca ceritanya selepas ini), saya jadi lebih sibuk. Cari job, cari network, buat proposal, pergi bengkel, tulis artikel untuk ruangan Misteri di Mingguan Malaysia serta BEBASNews.my, jumpa orang itu, jumpa orang ini, buat Facebook page X-Mastika bersama bekas-bekas wartawan Mastika…  akhirnya saya tidak ada masa untuk menulis blog!
            Saya suruh anak saya siapkan page blog. Tapi saya yang tidak mengisinya. Aduhai kawan, inilah konflik seorang `penganggur’, yang kini sudah tidak ada gaji bulanan. Yang semuanya bergantung kepada diri sendiri.
            Cuba kamu jawab, apabila kamu bekerja sendiri, mana yang lebih penting; cari duit untuk keluarga atau tulis blog? Kepada saya, tentulah cari duit. Sebab anak saya lima orang. Empat masih belajar. Kalau tak ada  duit, anak-anak nak makan apa? Hahahaa…
            Lalu saya putuskan, bulan Disember hingga Februari adalah bulan untuk membina asas dahulu. Cari prospek, hantar proposal, bina network, pergi bengkel, tambah ilmu, cuba itu, cuba ini. Yang lain-lain tu, kemudian.
            Makanya, terkorbanlah blog. Terkorbanlah juga niat untuk menulis dari puncak gunung Bario… hinggalah sekarang (Buku memoir dan seram sudah saya siapkan kandungannya.)
            Sekarang saya sudah free sikit. Lalu saya pulun blog ini. Dan hari ini, siaplah. Walaupun tak semenggah sangat, sompek sana, senget sini, hanya masuk yang asas-asas dulu, tak apa la ekk. Bolehlah tu, kan?
            Untuk hari ini, anda baca dulu apa yang ada. Nanti saya akan tambah lagi. Gambar-gambar yang saya ambil di luar negara tu cantik-cantik, anda tengok lah dulu, ya. Nanti saya akan buat ceritanya…
Ya, cerita dari seorang bekas pengarang majalah, yang kini menjadi penulis sepenuh masa (Ghostwriter).
            Okey sahabat… nanti kita jumpa lagi. Kalau ada job sebagai editor, membaca pruf, tulis biografi, beri kuliah kewartawanan, penulisan dan penerbitan, beritau saya, ya. Heh heh…

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

KUIH MENANGIS...

Semoga sejahtera di sana, sahabatku Dee