Seram


Lambaian mayat seorang gadis



KISAH INI diceritakan oleh seorang rakan yang bekerja dalam industri media. Namanya Amar. Menurut Amar, ketika itu pukul 12.00 malam, dia menunggang motosikalnya meninggalkan majlis malam media di Klang, Selangor. Dia perlu pulang segera ke rumahnya di Kuala Lumpur.
            Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang dinihari itu, sehinggalah dia sampai di bawah jejantas berhampiran SIRIM, Shah Alam. Di situ Amar lihat ada seorang gadis sedang berdiri di tepi jalan. Pelik, berani betul gadis itu bersendirian di dalam gelap.
            Amar memberhentikan motosikal dan mempelawa gadis tersebut untuk menghantarnya pulang. Dia bimbangkan keselamatannya. Namun sapaan dan pelawaan Amar langsung tidak berjawab. Gadis yang rambutnya melepasi bahu dan mengenakan baju serta skirt putih itu tetap diam membatu.  
            Hanya selepas lebih 10 minit menanti, barulah gadis itu bersuara. Kata si gadis, kalau benar Amar mahu membantu, dia harap dapat dihantar pulang ke rumahnya di sebuah taman perumahan di Klang.
            Amar berikannya topi keledar dan mereka mula bergerak menuju ke taman perumahan yang disebutkan tadi. Dalam perjalanan, gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Mizah itu memberitahu, dia berdiri di tepi jalan kerana ditinggalkan oleh seorang kawan lelaki.
            Pada mulanya Mizah menumpang kereta lelaki tersebut untuk pulang ke rumah selepas menghadiri majlis hari jadi. Bagaimanapun, di dalam perjalanan, lelaki berkenaan mula berkelakuan tidak senonoh.
Dia memberhentikan kereta di bawah jejantas tadi dan memaksa Mizah untuk menyerahkan kehormatannya.
“Mujur saya dapat lepaskan diri. Saya buka pintu, keluar dan menjerit. Dia terus pecut kereta dan tinggalkan saya di sini,” kata Mizah sambil merapatkan dirinya ke tubuh Amar.
            Akhirnya mereka sampai di rumah Mizah. Di halaman rumah yang masih terang itu kelihatan dua orang anak kecil bermain-main. Kata Mizah, itu anaknya. Dia baru bercerai setahun lepas. Sebelum berpisah, Amar dan Mizah saling bertukar nombor telefon.  
            Hendak dijadikan cerita, seminggu kemudian Amar pergi ke rumah Mizah bersama seorang kawan. Niat Amar adalah untuk memperkenalkan kawannya itu kepada gadis berkenaan.
            Namun, sampai di rumah Mizah, kedua-dua mereka terkejut. Manakan tidak, di hadapan mereka ialah sebuah rumah yang sudah lama terbiar. Tingkapnya rebeh, cermin pecah, dinding berkulat dan lalang tinggi meliar!
            Ketika Amar dan sahabatnya tercangak-cangak, seorang jiran keluar apabila menyedari kedatangan mereka. Amar dan kawannya terkejut apabila jiran tersebut memberitahu, Mizah dan dua orang anaknya sudah meninggal dua tahun lepas!  
            Tambah jiran itu, sebenarnya selain Amar, sudah hampir 10 orang datang ke rumah terbiar itu mencari Mizah. Semua lelaki berkenaan memberitahu mereka terserempak dengan Mizah di bawah jejantas berhampiran SIRIM, tempat dia ditinggalkan.
Apa yang telah berlaku sebenarnya?
Kata jiran tersebut, pada malam kejadian, Mizah berjaya pulang. Gadis itu bagaimanapun ditemui mati keesokannya bersama mayat kedua-dua orang anaknya, dipercayai dibunuh oleh lelaki yang cuba mencabulnya. Kes kematian Mizah ada dilaporkan di media-media tempatan, sekitar 25 tahun yang lalu.

Kisah kedua ini pula diceritakan oleh seorang lelaki berusia 50-an, bernama Maspa Dawi, semasa saya berkunjung ke Sarawak pada awal 2000an. Maspa memberitahu, pada pukul 2.00 pagi awal 1980an, dia memandu kereta ke hospital umum Kuching, Sarawak untuk menghantar jirannya yang mahu bersalin.
            Di tengah perjalanan, Maspa terpandang seorang gadis sedang berdiri di tepi jalan menghala ke Matang. Apabila disuluh lampu keretanya, kelihatan gadis itu sedang membelakangkannya sambil memegang sekaki payung.
Gadis itu memakai kebaya pendek warna hijau muda. Rambutnya disanggul dan dihiasi bunga kecubung. Penampilannya persis gadis tahun 1940an dan 1950an.
            Pulang dari hospital, Maspa terkejut kerana si gadis berkenaan masih berdiri di tepi jalan tadi. Maspa memperlahankan keretanya dan memandang gadis tersebut. Ternyata si gadis sangat cantik paras wajahnya. Mukanya disolek rapi.
            “Sah… pelacur!” kata Maspa di dalam hati.
            Seminggu kemudian semasa menghadiri majlis kenduri di rumah arwah sepupunya, Maspa menceritakan kisah tadi kepada seorang ustaz.  Terkejut Maspa kerana ustaz tersebut rupa-rupanya pernah melihat gadis berkenaan. Malah dia turut menumpangkan gadis itu menaiki keretanya!
            Cerita si ustaz, gadis cantik  berkebaya pendek itu duduk di kerusi belakang dan mahu menumpang hingga ke sekolah berhampiran. Di sepanjang perjalanan selama 15 minit, si gadis langsung tidak berkata walau sepatah pun.
            Yang menyeramkan, sampai saja di sekolah berkenaan, ustaz itu mendapati gadis berkenaan sudah pun ghaib. Kerusi belakang kosong. Bagaimanapun, si gadis tidak pergi begitu saja. Esoknya si ustaz tersebut mendapati ada kuntuman-kuntuman bunga kecubung bertaburan di atas kerusi belakang keretanya!
            Kisah misteri ini pernah disiarkan oleh majalah Mastika, suatu ketika dahulu.
                       
Soalan saya, `siapakah’ yang ditumpangkan dalam kisah-kisah yang dipaparkan tadi? HANTU! Ya, Hantu. Ops! Itu bukan jawapan saya, tapi jawapan anda. Anda yang mengatakannya hantu, bukan saya.
            Tiada siapa boleh menafikan, kita cukup gemar mendengar cerita hantu. Ia juga sering dijadikan bahan bualan umum, khususnya masyarakat Melayu. Bagaimanapun, cara kita mentafsir fenomena itu amat menyedihkan. Cara berfikir kita tidak banyak berubah sejak dari zaman animisme.
            Pada zaman itu, ketika ilmu moden belum bermula, setiap kejadian yang tidak dapat dijawab oleh akal, seperti petir dan gempa bumi, akan disandarkan kepada kuasa supernatural ghaib. Dari situ dicipta pula konsep semangat, roh nenek moyang dan  hantu.
            Apabila Islam sampai ke Nusantara kira-kira 10 abad yang lalu, kepercayaan itu dimurnikan, dan ditambah dengan konsep tuhan, syaitan dan jin. Syaitan tidak jemu berusaha untuk menyesatkan umat manusia, termasuk dengan menjelmakan diri sebagai hantu.
Bagaimanapun, pencerahan minda itu terhenti setakat di situ saja. Sampailah sekarang, andai berlaku saja kejadian atau fenomena aneh yang sukar dijawab, ia terus saja didakwa angkara hantu, syaitan, jin dan makhluk ghaib lainnya seperti  hantu raya, orang bunian dan penunggu.  
            Hah, bosannya! Anggapan itu telah menyebabkan kita menjadi malas dan keliru. Bukan menolak kebenaran agama, tetapi kenapa kita tidak pernah membuka fikiran untuk mencari kesahihan, `Benarkah itu hantu?’
Bukankah elok kalau kita berusaha menafikan kewujudan hantu itu, daripada sewenang-wenang menyahihkannya dan kemudian takutkan kehadirannya? Bukankah takut kepada hantu dan syaitan itu boleh memesongkan akidah?
Paling menyedihkan, antara orang yang paling suka menerapkan konsep ini adalah para ustaz. Hingga akhirnya kita terkeliru, mana satu ustaz dan mana satu bomoh!
            Pernahkah anda dengar nasihat dari sesiapa, termasuk ustaz, yang berbunyi begini: “Tuan-tuan jangan cepat percaya itu hantu. Cubalah selidik, besar kemungkinan ia adalah tenaga elektromagnet (EMF), halusinasi dan kesan ubat-ubatan. Barangkali juga ia kesan perubahan cuaca, gangguan pada otak, fatamorgana atau pun pentafsiran sel kon serta rod di dalam mata.”
            Tidak pernah, kan? Kenapa? Sebab kita - termasuk ustaz - malas membaca. Semuanya angkara syaitan dan jin. Bagi sesetengah ustaz pula, idea barat akan membawa  kesesatan, ateisme dan memesongkan akidah. Kalau bomoh, lagilah dahsyat.
            Oleh kerana itu, apa kata kalau mulai minggu ini, kita buka sedikit fikiran dan cuba dengar apa pandangan pengkaji paranormal barat tentang hantu.
Untuk pengetahuan anda, kajian paranormal barat mempunyai pelbagai teori dan sebahagian besarnya mengatakan bahawa sebenarnya hantu itu tidak wujud! Yang wujud adalah kesilapan kita mentafsir apa yang disaksikan itu. Sesatkah kita kalau mempercayai teori-teori sebegini?
            Kembali kepada cerita kita: Jadi, siapakah wanita yang ditumpangkan dalam kisah-kisah di atas tadi? Kalau bukan hantu, siapa? Maaf kalau salam perkenalan ini agak panjang. Jumpa lagi…



Mayat merayau di tempat kemalangan



Kira-kira 10 tahun lalu, berlaku kemalangan ngeri di Segamat, Johor, melibatkan seorang pemuda. Kemalangan pada lewat petang itu berlaku ketika pemuda terbabit sedang menunggang motosikalnya untuk pergi ke bandar Segamat. Bagaimanapun, sampai di satu selekoh, motosikalnya bertembung dengan sebuah lori yang sedang laju menuruni bukit.
            DDAAMMM!! Pertembungan berlaku secara berdepan. Dia mati di situ juga. Cebisan daging bertaburan di jalan raya. Muka pemuda itu hancur, anggota badan berkecai selepas terseret di atas jalan raya.  
Tetapi bukan kemalangan itu yang hendak diceritakan di sini. Untuk pengetahuan anda, seorang kenalan saya, Azip memberitahu, mulai malam itu muncul jelmaan menakutkan di kawasan kemalangan tersebut pada lewat malam.  
Azip sendiri mengalaminya: “Kebetulan malam kedua selepas kemalangan itu, saya pergi ke bandar Kluang untuk makan dengan kawan-kawan. Kami pergi biji buah motor. Lebih kurang pukul 1.00 pagi, baru balik.
“Dalam perjalanan pulang, saya mengisi tangki minyak yang hampir kering. Akibatnya, saya tertinggal agak jauh dari kawan-kawan. Tapi saya tak risau sebab saya berdua dengan seorang kawan.
“Turun saja bukit memasuki kawasan perkampungan kami, saya nampak ada balam-balam seseorang sedang berdiri di tepi jalan. Saya mula tertanya-tanya, apa pula yang dibuat orang itu pada tengah-tengah malam begini?
“Jarak semakin dekat dan bila bayangan tubuh itu tersuluh oleh lampu motosikal, saya terkejut besar. Yang berdiri itu adalah seorang lelaki. Mukanya hancur, pakaiannya yang berwarna kuning dipenuhi darah.”
Tambah Azip, kawan yang membonceng motosikalnya turut melihat jelmaan itu. Untuk pengetahuan anda, pakaian jelmaan itu sama dengan yang dipakai oleh si mati semasa kemalangan tersebut berlaku.
Khabarnya, beberapa orang penduduk juga pernah ternampak jelmaan itu. Bukan itu saja, ada yang mendengar suara jeritan orang dalam kesakitan. Gangguan itu beransur hilang beberapa minggu kemudian.
            Kejadian yang hampir sama berlaku di Labis, melibatkan seorang gadis berbangsa Cina. Bukan setakat suara jeritan, malah dikatakan jelmaan gadis berkenaan dilihat merayau-rayau di sekitar kawasan kemalangan.
            Seorang sahabat yang bertugas di sebuah syarikat media pernah bercerita kepada saya tentang jelmaan seorang lelaki separuh umur berdiri di tepi jalan sambil memegang tangan anaknya.
            Apa yang aneh kepada dua beranak itu ialah mereka akan menyeberangi jalan sebaik kenderaan melintas di hadapan. Tubuh jelmaan itu bagaimanapun lenyap apabila dilanggar kemudian muncul di seberang jalan yang satu lagi.  
Siapa dua beranak itu? Dikatakan mereka terbunuh akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan tersebut, tidak lama sebelum itu.
            Kejadian tersebut berlaku di pinggir Kuala Lumpur. Tetapi maaflah, lokasi tepatnya tidak dapat diberikan, bimbang anda takut melalui jalan tersebut. Maklumlah, dikatakan jelmaan dua beranak itu masih berlegar-legar di situ.               
            Sebenarnya, kisah-kisah sebegini diceritakan terjadi di seluruh negara. Hanya ia disebarkan kepada umum atau tidak, itu sahaja. Malah ada yang melihat jelmaan mayat dan lembaga putih di atas kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, berdiri di tepi jalan dan melintas jalan.

HANTU! Ya, sama seperti dua kisah yang dipaparkan dalam keluaran minggu lepas, pasti jelmaan-jelmaan yang dilihat tadi dianggap sebagai hantu.
            Saya ulangi - tidak seperti kita – pengkaji paranormal barat memulakan hipotesis mereka dengan premis, hantu itu tidak wujud. Ujian dan kajian dilakukan dengan menggunakan peralatan serta teori-teori sains.
Untuk pengetahuan anda, hantu dalam bidang ini dipanggil entiti. Bagi memudahkan pemahaman, untuk ruangan permulaan ini, kita ulas tentang kes-kes di atas tadi berdasarkan satu teori saja dahulu.
Antaranya, jelmaan-jelmaan dalam kes kematian mengejut seperti kemalangan dan pembunuhan, dikelompokkan sebagai entiti yang muncul akibat kekeliruan.   
Maksudnya, kematian itu menyebabkan si mati berasa keliru. Sukar untuk dia menerima hakikat dirinya sudah pun mati. Jika anda pernah menonton filem Ghost lakonan Patrick Swayze dan Demi Moore, anda akan faham apa yang dinyatakan ini.      
Menurut sains fizik, tenaga tidak boleh dicipta, tetapi boleh dipindah dan diubah. Manusia pula bukan saja terdiri dari jasad dan roh, tetapi juga emosi dan memori. Emosi dan memori ini mempunyai tenaganya yang tersendiri.   
Apabila seseorang itu mati, tenaga emosi dan memorinya terbebas dari jasad. Bagaimanapun, kedua-dua tenaga itu berasa keliru dan tidak dapat menerima hakikat kematian jasadnya.
            Tenaga emosi dan memori yang amat kuat inilah yang kemudian berubah menjadi satu entiti baru dalam bentuk-bentuk tertentu, termasuk jelmaan si mati. Dalam sesetengah kes, ia mengeluarkan bunyi serta suara seperti jeritan dan tangisan.
            Contoh mudah kepada adalah dalam kes Highland Towers. Dikatakan sehingga kini - pada waktu-waktu tertentu - penduduk di sekitar kondominium tersebut akan terdengar suara tangisan dan ratapan mangsa yang meninggal dalam tragedi tersebut.
Begitu jugalah yang berlaku akibat Tsunami di Acheh dan Tsunami. Banyak jelmaan mangsa yang dilihat merayau-rayau dan pulang ke rumah, sedangkan hakikatnya mereka telah pun meninggal dunia.
            Fenomena penumpang ghaib (phantom hitchhiker) seperti yang diceritakan pada minggu lepas juga menjadi satu kajian popular dalam bidang paranormal barat. Ini kerana kejadian sebegitu berlaku di seluruh dunia.
            Saya tidak mahu memperincikan kes-kes tersebut dalam ruangan yang kecil ini, tetapi kajian itu mendapati, sebahagian besar kes penampakan jelmaan ini berlaku kerana halusinasi. Sebahagian lagi kes kerana pengambilan dadah dan alkohol, kabus akibat hujan atau dari punca air berdekatan serta projeksi minda orang yang mengalaminya.
(Projeksi minda bermaksud imaginasi minda kita tanpa disedari telah mencipta objek yang dibayangkan kewujudannya itu. Imaginasi ini lahir akibat rasa takut, atau teringat kisah-kisah menakutkan yang pernah kita dengar dan lihat atau tonton.  Akhirnya, kita melihat apa yang kita bayangkan).
            Kejadian-kejadian ini kemudian disebarkan dari mulut ke mulut, akhirnya bertukar menjadi cerita dongeng popular (Urban legends). Bagaimanapun apabila diselidiki, ternyata ia tidak benar dan penuh tokok tambah.
Jadi, kenapa perlu kita takut kepada hantu? Ia bukannya syaitan, tetapi tenaga emosi, halusinasi dan projeksi minda semata-mata!
Pun begitu, saya ulangi lagi, di atas tadi hanyalah salah satu daripada sekian banyak teori tentang kepalsuan hantu. Jangan terkejut pengkaji paranormal turut mendapati air, perabot, kipas dan dinding juga boleh menjelmakan hantu.
Memang benar, banyak persoalan lain yang tidak dapat dijelaskan oleh pengkaji tersebut. Misalnya objek-objek material yang ditinggalkan oleh penumpang berkenaan.
Namun para pengkaji ini terus berusaha untuk mencari jawapan saintifik bagi menangkis kewujudan hantu. Bukankah ini suatu pemikiran yang patut kita contohi, supaya kita menjadi cerdik, tidak angguk membuta tuli dan tidak lagi takut kepada hantu serta syaitan?
Betul, teori ini mempunyai kelemahannya, tetapi ia mengajak kita untuk berfikir dan mencari jawapan. Bukankah itu yang dituntut oleh agama kita? 
Oh... hampir saya terlupa! Kajian-kajian barat mendapati, semakin tinggi IQ dan tahap kebijaksanaan seseorang, semakin tipis kemungkinan dia melihat hantu. Dalam kata lainnya, orang yang sering melihat `hantu’ adalah orang yang ....!!!
Soalan saya, anda dalam kategori mana?



Nenek kebayan merayau di asrama



Kejadian ini berlaku di asrama Maktab Tentera Darat, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Tengah hari itu, semua pelajar lelaki pergi bersolat Jumaat di masjid berhampiran, kecuali seorang. Pelajar yang agak nakal ini cuba untuk ponteng. Dia menyorok di dalam almari pakaian dengan harapan tidak dapat dikesan oleh warden.
            Tetapi entah bagaimana, pelajar tersebut telah tertidur. Apabila sedar, hari sudah lewat petang. Pelajar itu menolak pintu almari, namun gagal. Rupa-rupanya pintu telah terkunci dari luar. Mungkin secara tidak sengaja, atau dikunci oleh rakan-rakan yang tidak sedar dia sedang bersembunyi di dalamnya.
            DAM! DAM! DAM!
            Pelajar tersebut terus mengetuk pintu almari dan memanggil kawan-kawannya. Sunyi sepi. Namun tidak seperti biasa, hari itu tiada suara yang menyahut panggilannya. Rupa-rupanya, semua penghuni asrama telah pulang ke kampung kerana hari itu adalah hari terakhir persekolahan!
            Kini tinggallah dia keseorangan. Tiada siapa dapat membantunya. Akibat cuaca yang panas dan kekurangan udara, pelajar berkenaan akhirnya mati kelemasan.
            Tragedi itu memulakan kisah misteri yang berlaku di asrama elit tersebut, sampailah hari ini. Kalau ada pelajar tidur di katilnya, arwah akan baring di sebelah mereka. Pintu almari juga akan diketuk-ketuk dari dalam, biasanya pada hari Jumaat dan lewat malam.  
            Kisah ini belum berakhir. Di sebuah asrama Maktab Rendah Sains Mara di Perak pula berlaku satu kejadian menakutkan. Dinihari itu, seorang pelajar mengejutkan kawan di sebelah katil untuk menemaninya ke bilik air.  
            “Aku takutlah… aku dengar cerita tandas kita berhantu,” kata pelajar yang hendak ke tandas tadi.
            Sahabatnya tidak menjawab, hanya tersenyum dan menemaninya ke tandas. Selepas membuang hajat, pelajar pertama tadi pergi ke singki untuk membasuh muka. Sebaik paip dibuka dia terkejut. Yang keluar bukannya air, tetapi darah!
            Dia menjerit memanggil sahabatnya yang masih di dalam bilik air. Tetapi suara yang menyahut panggilannya tadi amat menakutkan. Garau dan pelik. Pelajar yang sedang ketakutan itu terus mengetuk pintu bilik air untuk mengajak kawannya pulang. Dan, kreeet…
            Pintu terbuka, tetapi yang muncul bukanlah sahabatnya, sebaliknya lembaga berambut panjang, bermuka hodoh dan bermata merah. Pelajar tadi pengsan di situ juga!
            Sebuah asrama puteri di Kelantan pula terkenal dengan kisah seorang nenek yang duduk di atas almari sambil menggoyang-goyangkan kakinya. Diceritakan, suatu malam seorang pelajar menyanyi-nyanyi seorang diri. Tiba-tiba pelajar itu terdengar ada satu suara pelik mengiringi nyanyiannya. Suara itu seperti suara seorang nenek dan alunannya amat meremangkan bulu roma.
            Pelajar itu cepat-cepat menarik selimut dan memejamkan matanya. Dia cuba melelapkan mata tetapi gagal.
“Katil nombor satu dah tidur. Katil nombor dua dah tidur. Katil nombor tiga…  pura-pura tidur!” tiba-tiba kedengaran suara seorang perempuan tua.
            Pelajar itu menjengukkan kepala dan terkejut apabila melihat ada seorang nenek duduk di atas almari sambil menggoyang-goyangkan kaki dan memandang ke arahnya.
            Sedikit lagi cerita seram asrama. Kali ini di Kuala Lumpur. Suatu senja, seorang pelajar lelaki terserempak dengan sahabatnya di tepi padang.
            “Jom kita pergi main bola,” kata sahabat berkenaan. Anehnya, sahabat itu tidka memakai kasut.
            Pelajar tadi tidak menjawab, sebaliknya memandang ke arah kaki kawannya itu. Darahnya berderau, kaki kawannya itu tidak mempunyai ibu jari. Manusia atau…?
            “Err… tak maulah. Aku nak mandi,” jawab pelajar pertama tadi.
            “Nak mandi ke… dah tau,” balas pelajar yang berkaki ayam sambil melemparkan renungan dan senyuman yang menggerunkan.
            Perkataan `Dah tau’ itu bermaksud, adakah pelajar pertama sudah tahu bahawa pelajar yang berkaki ayam sebenarnya bukan manusia.       
            Anda pernah dengar cerita ini? Pasti pernah, bukan. Semua kisah misteri yang diceritakan tadi adalah kisah-kisah seram yang sangat popular di kalangan pelajar asrama. Tanyalah kepada para pelajar asrama di mana-mana juga di negara ini, rata-rata tahu akan cerita tersebut.
Cuma persoalannya, adakah kejadian-kejadian itu benar-benar berlaku? Kalau berlaku, di mana?



            Saya sengaja letakkan lokasi asrama-asrama tertentu, tetapi anda pergilah ke asrama berkenaan, pasti mereka menafikannya. Sebab, memang tidak ada kejadian seumpama itu berlaku di sana. Sedangkan, cerita yang sampai ke telinga kita mengatakan, memang kejadian tersebut berlaku di asrama berkenaan.
            Mengapa ini terjadi? Dalam bidang kajian paranormal, kisah-kisah tadi dikategorikan sebagai Urban legends, atau lebih mudah difahami, cerita dongeng seram popular. Di barat, ia dipanggil Urban legends (dongeng bandaran), tetapi dalam konteks negara kita, istilah tersebut agak kurang sesuai.
            Kembali kepada topik perbincangan kita: Perhatikan, cerita dongeng seram popular ini mempunyai beberapa ciri.
Pertama, ia berlaku kepada kawan kepada kawan, bukan kepada pencerita itu sendiri. Sebagai contoh, cerita tersebut disampaikan oleh pelajar bernama Maria. Kata Maria, ia berlaku kepada kawannya, Shima. Apabila ditanya kepada Shima, pelajar itu mengatakan, sebenarnya ia terjadi kepada kawannya yang lain, Aishah. Begitulah seterusnya... tiada penghujung.
Untuk pengetahuan anda, apa yang sebenarnya berlaku ialah dalam rantaian sahabat itu, mereka saling mempercayai. Jadi bagi meringkaskan cerita, si A akan memendekkannya dengan berkata, ia berlaku kepada sahabatnya, B. Sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Cerita dongeng seram popular ini ringkasnya tidak diketahui berlaku kepada siapa, dan di mana. Ia tersebar dari mulut ke mulut, ke serata pelosok daerah.
Kedua, terdapat pelbagai versi. Sebagai contoh, ada versi mengatakan sebenarnya cerita seram di tandas tadi berlaku ketika menjelang subuh. Pelajar lelaki itu pula melihat darah keluar dari paip singki semasa mahu memberus gigi.
Versi lain pula mengatakan dia tidak pengsan di tandas, tetapi di dorm apabila mendapati kawannya itu sebenarnya sedang nyenyak tidur. Begitulah juga dengan kisah-kisah seram lain.
Ketiga, Urban legends mengandungi pengajaran moral dan amaran. Misalnya, cerita pertama untuk menakutkan pelajar supaya jangan ponteng sembahyang Jumaat. Cerita nenek di atas almari pula bertujuan menakut-nakutkan pelajar supaya tidur pada waktu yang ditetapkan oleh asrama.
            Ciri keempat, cerita itu sangat aneh, janggal dan kadang-kala lucu. Perhatikan cerita pertama tadi. Tidak logik langsung ada pelajar yang sanggup menyorok di dalam almari untuk ponteng sembahyang Jumaat.
Tidak masuk akal pintu almari boleh terkunci dari luar, begitu juga tidak mungkin pelajar tersebut tidak dengar kawan-kawannya yang lain bergelak ketawa, berbual serta sibuk mengemas barang sebelum pulang ke kampung masing-masing.
            Kisah-kisah Urband legends ini lebih kurang sama cirinya dengan kisah hantu kum kum, hantu stoking dan lelaki tua penyabit kepala. Kisah-kisah itu sangat menarik dan kononnya ia berlaku di sesebuah tempat. Namun apabila dijejaki, semuanya palsu.
Hakikatnya, apa yang berlaku ialah semua kisah di atas tadi tersebar kerana ia menjadi bahan cerita paling digemari semasa para penghuni asrama ini berkumpul sebelum memejamkan mata. Dikatakan, ada juga di antara cerita-cerita itu yang sebenarnya telah diubahsuai daripada kisah-kisah Urban legends di luar negara.   

            Andak tak percaya? Kalau ada mana-mana pelajar asrama yang betul-betul pernah mengalami kejadian seram seperti di atas tadi, saya cabar… sila hubungi saya sekarang! 


Comments

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Apa kata anda bersendirian pergi ketempat2 yg sudah dikenal pasti keseramannya utk memastikan kisah itu betul atau tidak. Dah tentu anda x takutkan?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Intro

KUIH MENANGIS...

Semoga sejahtera di sana, sahabatku Dee