Memoir


Nama saya Zulkarnain. Nama awak apa?



Suatu ketika dahulu semasa menghadiri sebuah program sekolah, saya menjadi pening apabila melihat senarai nama pelajar yang ditampal di pintu kelas. Untuk huruf ‘A’ di kalangan pelajar perempuan, ada empat lima orang yang mempunyai nama bermula dengan perkataan ‘Amira.’ Ada Amira Aqilah, Amira Farah Dahlia, Amira Maisyara dan Amira… entah, saya sudah lupa.
            Di kalangan pelajar lelaki pula, ada empat lima orang yang namanya bermula dengan perkataan ‘Aiman.’ Yang membezakannya ialah nama kedua dan ketiga. Ada Aiman Haziq, ada juga Aiman Haiqal, Aiman Hakim, Aiman Hilmy dan sebagainya.
Pada huruf M pula, lagi pening. Ada hampir 10 orang yang nama mereka bermula dengan perkataan Muhammad, termasuklah anak saya.
Tidak berapa lama kemudian, saya dengar seorang guru menyebut nama pelajar. Saya dapati, ketika menyebut nama-nama itu, beberapa kali guru tersebut tersasul.
            “Aduhai… panjang betul nama budak-budak sekarang ni. Dahlah pelik, susah pulak nak menyebutnya. Nak kata Arab, bukan. Nak kata Inggeris, pun bukan,” kata seorang lelaki di sebelah saya lalu ketawa.
            Betul kata lelaki itu. Saya pun sebenarnya rasa hendak tergelak apabila melihat guru wanita berbangsa Cina itu beberapa kali tersasul. Bayangkan macam mana dia hendak menyebut, Aina Batrisya Aqliah. Kemudian, memanggil pula nama Farah Katrina, Qasih Maizara Humaira, Qistina...
            “Eh… ingatkan tadi bukan anak orang Melayu,” kata lelaki tadi. Dia sebenarnya terkejut apabila melihat seorang budak Melayu berjalan ke arah guru berkenaan apabila namanya disebut, Mikael Danial.



NAMA ANAK-ANAK kita sekarang memang pelik. Ada yang berunsur Arab, ada juga yang berunsur Inggeris. Malah yang berunsur Perancis pun ada. Selain nama di atas, mari saya berikan contoh lain.
            Antaranya, termasuklah anak saya sekali. Anda tahu makna perkataan Muhammad, bukan? Ya, nama Rasulullah, Rasul terakhir. Ia berasal daripada perkataan Ahmad, iaitu yang terpuji.
            Tetapi, anda pernah dengar perkataan Zulhikmie? Bagaimana pula dengan perkataan Zuljazmie, Zulshahmie dan Zulhazimie? Zuraien, anda pernah dengar?
            Hmm… ini bukan artikel personal atau hendak mempromosi nama sendiri. Tidak. Tetapi, mari saya ceritakan. Apabila isteri hamil, seperti mana suami isteri yang lain, kami juga mencari-cari nama yang sesuai.
Mula-mula kami pilih perkataan Muhammad untuk semua anak lelaki. Tapi Muhammad saja tidak cukup. Perlu ada nama yang kedua. Okey… awalannya kami pilih Zul, sempena awal nama saya. Seterusnya, kami memilih perkataan Hikmah, yang bermaksud baik dan bijak. Tetapi kami ubah supaya lebih menarik, tetapi membawa maksud yang sama, lalu jadilah Hikmie (kebijaksanaanku). Maka nama anak sulung kami itu menjadi, Muhammad Zulhikmie.
            Kami berharap, dengan nama itu, apabila besar kelak Muhammad Zulhikmie akan menjadi seorang yang baik dan bijak. Juga, nanti dia tidak akan malu dengan namanya itu pada hari kebangkitan nanti.
            Begitu jugalah dengan nama anak-anak yang lain, dengan nama panggilan harian mereka iaitu Kimi, Jimi, Shahmie, Hazimi dan Nini.
            Kenapa saya memilih nama-nama seperti itu? Kerana itulah trend sekarang. Trend nama-nama berunsur Arab (tetapi membawa maksud positif) dan komersial. Trend itu dilakukan juga oleh semua ibu bapa sekarang, baik di bandar mahupun di kampung. Tetapi trend itulah yang kemudiannya menyebabkan guru wanita tadi beberapa kali terkucil lidah untuk menyebutnya.
            Hmmm… nampaknya nama-nama berunsurkan Melayu, atau Jawa dan Banjar seperti Bulat, Hitam, Putih, Aman, Sugiman, Sukardi dan Pardi sedang menuju kepupusan yang serius.
Saya teringat, semasa saya kecil dahulu, beberapa orang sepupu datang ke rumah saya di Segamat, Johor, dan berjalan-jalan sekitar rumah kami. Tiba-tiba sepupu saya itu terkejut melihat papan nama di hadapan rumah jiran hadapan rumah saya. Kisot Elias. Hahaha… sepupu saya ketawa. Perkataan itu katanya bunyinya seperti mengengsot.
            Dia mula tertarik untuk melihat papan yang tertulis nama-nama pemilik rumah seterusnya. Di sebelah rumah Kisot, dia ketawa lagi. Kali ini lebih kuat sebab nama jiran saya itu ialah Rakimin Wakiti, seorang Jawa. Belum habis ketawa, dia memandang ke rumah yang lain pula, iaitu di hadapan rumah Rakimin Wakiti tadi.
Kali ini, Ahmad Dono. Dia ketawa lagi sampai keluar air mata. Katanya bunyi macam Don’t Know, iaitu tidak tahu. Atau slanga budak-budak sekarang, buat dono aja. Begitulah dengan nama-nama lain, antaranya Lip, Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu, Masrom, Bejo Wongso, Suparman Bulawi dan sebagainya.
            Apabila diberitahu tentang nama-nama gelaran pula, sepupu saya itu lagi sakit perut. Mana tidaknya, ada di kalangan jiran-jiran kami yang baik hati ini yang digelar Mat Lengkar. Entah dari mana perkataan Lengkar itu diperoleh, saya tidak tahu. Ada juga yang digelar Bakar Baung kerana kononnya suka makan ikan baung.
            Yang sakit hati, ada yang digelar Ali Bacin, sedangkan jiran itu baik dan badannya tidak bacin. Disebabkan suka membuat tempe, seorang jiran lain digelar Selamat Tempe. Yang membuat sate digelar Rahmat Sate, manakala disebabkan orang itu gagap, dia digelar Atan Gagap. Yang rumahnya di dalam gaung pula, digelar Rahman Gaung. Apabila diceritakan semua ini, sepupu saya tadi makin kuat ketawanya.
            Ketika mula bersekolah, saya bertemu pula dengan nama-nama yang lain pada pendengaran saya. Ada yang bernama Nikmat. Ada yang bernama Norazmi, Abdul Razak, Rabiah, Rizal dan sama dengan saya, Zulkarnain. Tidak dengar pula nama yang pelik, walaupun bapa mereka yang berketurunan Jawa atau Banjar ini mempunyai nama yang pelik-pelik.
            Semasa di dalam darjah satu itu juga, saya ada seorang guru berbangsa Cina. Namanya Leong Peng San. Nama guru ini sering jadi persendaan kami sebab bunyinya macam pengsan. Jadi, kami selalu membuat lawak, “Cikgu Leong pengsan! Cikgu Leong pengsan!”
            Ketika dalam darjah empat, masuk dua orang guru India. Seorang bernama Komala Devi, seorang lagi Kamalanathan. Saya dan kawan-kawan ketawa juga sebab nama kedua-dua guru ini hampir sama dengan nama kampung kami, Kemelah, atau nama tepatnya, Felda Kemelah.
            Apabila masuk ke sekolah menengah, sekali lagi nama menjadi bahan ketawa. Kasihan, yang selalu menjadi mangsa ialah pelajar yang berketurunan Jawa. Saya masih ingat dengan jelas macam mana riuhnya kelas kami, yang terdiri daripada pelajar Melayu, Cina dan India, ketika itu.
            Apabila cikgu menyebut nama bapa pelajar itu Dakian, kami yang Melayu, Cina dan India ini terus tergelak. Disebut Kosnom, gelak lagi. Kalau Dawakon, Wagiman dan Suparman, lagilah kami gelak.
            Kemudian, apabila nama pelajar Cina disebut, giliran kami yang Melayu dan Jawa pula ketawa. Nama-nama seperti Kian Huat (bunyinya macam kian kuat), Teh Seng Kee (macam teh sinki) dan Ragunathan (seperti ragu/bimbang) menyebabkan kami tergelak sampai sakit perut.
            Semakin saya besar, semakin banyak nama yang saya dengar. Akhirnya yang pelik tidak menjadi pelik lagi. Yang lucu, bukan lucu lagi. Barulah saya mengerti, ia berkaitan dengan bangsa, budaya dan agama.
Nama yang pelik bagi kita, adalah nama yang baik bagi budaya, bangsa dan agama lain. Nama-mana itu juga melambangkan kemegahan budaya, bangsa dan agama pemiliknya. Apa yang perlu dilakukan ialah saling menghormati dan memahami.
Mentertawakan nama orang lain adalah perbuatan yang salah. Menggelar seseorang lain dengan nama yang bukan-bukan, juga adalah perbuatan yang salah. Hanya orang yang tidak faham saja akan mentertawakan nama orang lain.
            Oh ya… bagaimana pula dengan nama saya, Zulkarnain Zakaria?
            Bapa saya, Zakaria, adalah anak kedua daripada empat beradik. Datuk saya bernama Idris. Idris adalah seorang Nabi, lantas nama bapa saya juga diambil sempena nama seorang nabi, iaitu Nabi Zakaria. Adik kepada bapa saya pula ialah Yahya, dan yang bongsu, Isa, kedua-duanya nama nabi. Kakak mereka yang sulung ialah Asmah, mungkin sekali sempena nama anak Sayidina Abu Bakar, iaitu Asma’.
            Bagaimana pula dengan Zulkarnain?
            Ia nama seorang raja yang paling terbilang dalam sejarah tamadun manusia, iaitu Iskandar Zulkarnain. Zulkarnain bermaksud raja yang mempunyai dua tanduk. Dikatakan dia adalah Alexander The Great, raja Macedonia yang telah menakluki sebahagian besar planet bumi ini ketika usianya masih muda lagi.
            Kononnya, dari Iskandar Zulkarnain @ Alexander The Great inilah lahirnya raja-raja Melayu, seperti yang dicatatkan dalam kitab Sejarah Melayu. Namun, ramai yang mengatakan Zulkarnain yang disebut dalam juzuk ke-17 kitab suci al-Quran itu sebenarnya merujuk kepada raja Cyrus The Great, raja empayar Achaemedia di Parsi. Raja ini juga telah menakluki sebahagian besar dunia dan memerintah dengan adil serta menyembah satu Tuhan (monotheist).
            Siapa yang memberi nama saya itu? Abang dan kakak saya yang sulung. Kata kakak saya, apabila saya dilahirkan, dia mencadangkan nama Zulkarnain. Abang saya pula mencadangkan Iskandar Zulkarnain.
            Tetapi disebabkan Iskandar Zulkarnain itu terlalu hebat, bimbang saya pula kalau bila besar nanti tidak jadi orang yang hebat, tentu ia akan memalukan diri saya pula. Maka mereka sepakat memilih Zulkarnain sahaja. Membesarlah saya dengan nama Zulkarnain.
            Nama panggilan saya, Zul. Namun disebabkan perkataan Zul itu, dan semasa kecil pula bahagian belakang kepala saya ditumbuhi benjol besar (sebenarnya bisul) hingga terpaksa dibedah, saya digelar Zul Benjol! Jadinya, semasa kecil dulu ada kawan-kawan yang memanggil saya Zul Benjol, atau Benjol sahaja. Cis!
            Saya pernah bertanya kepada seorang kawan berbangsa Cina, apa maksud Zulkarnain? Kata kawan saya itu, Soh Seng Wee namanya, kalau perkataan Zul, Kar dan Nain, tidak ada. Tetapi kalau yang bunyinya agak hampir, ada.
            Zul… antara hampir ialah Zhu. Apa maksud Zhu, saya bertanya. Kahkahkah… dia terus ketawa. Katanya Zhu bermaksud B**i! Alamak!!! Tapi jangan risau, sebab perkataan yang paling dekat ialah Zu (nenek moyang).
Kar? Yang paling hampir ialah Jia (keluarga). Manakala untuk perkataan Nain, yang terdekat ialah nai-en, iaitu sangat tahan (nai) dan budi (en).
            Apabila menjalankan tugasan di luar negara, saya menghadapi masalah. Ini kerana nama saya sukar untuk disebut. Jadi untuk memudahkannya, saya terpaksa menyebutnya perlahan-lahan dengan cara begini… Zoo plus L = Zool (Zul), Car (kereta) = Kar, dan Nine (sembilan) = (Nain). Sebaik mendengarnya, mereka terus ketawa. Ya, di luar negara nama saya memang pelik dan kelakar.
            Sekarang jawab soalan saya... siapa nama anda, dan siapa nama anak anda? Adakah nama-nama itu melambangkan bangsa dan agama anda?


Ulat hijau menjadi misai




SEKARANG saya tidak akan membunuh ulat lagi. Sumpah! Cuma geli saja. Saya geli bila tengok ulat berjalan dan badannya yang licin lembik itu berdenyut-denyut, nyut... nyut... nyut... dengan muka yang menggerunkan. Bulu tengkuk rasa meremang.  Saya tidak dapat membayangkan kalau ulat itu berjalan atas tangan saya sambil lapan pasang kakinya mencubit-cubit kulit saya ini.
Saya juga berasa geli bila melihat ulat itu keluarkan air liurnya yang berwarna hijau. Yeaak. Walaupun kepala ulat itu lembut saja macam kuih apam, tapi saya nampak mukanya macam muka raksasa. Ekornya yang kontot dan terconet di hujung buntut macam sebilah pedang beracun membuatkan badan saya rasa seram sejuk.
            Paling saya tak sanggup ialah apabila ulat itu cepat-cepat mengerekotkan badannya ke kiri dan kanan bila kita cuit `pinggang’nya. Mungkin ia marah, mungkin ia geli. Kalau melihat ulat lama-lama, seluruh bulu roma saya serasa berdiri, seakan-akan ia hendak melompat ke atas badan saya.
            Tapi anak saya tidak begitu. Mereka semua sukakan ulat. Mereka takkan membunuh ulat dan mereka tidak geli melihat ulat. Malah, kalau boleh mereka ingin memelihara ulat itu, kemudian  beramai-ramai menelitinya dengan kanta macam saintis meneropong bakteria.  Anak-anak saya juga takkan membunuh ulat bulu walaupun ulat itu boleh menyebabkan kita gatal satu badan.
            Kenapa mereka sayangkan ulat? Sebab saya yang melarang mereka berbuat demikian. Kenapa pula saya larang mereka?
            Sebelum diberikan jawapannya, ingin saya beritahu anda bahawa, sikap saya terhadap ulat ini amat jauh berbeza dengan zaman saya kecil dulu. Kira-kira 35 tahun dahulu, di rumah saya di Segamat, ada sebatang pokok bunga. Entah apa namanya, saya tidak tahu. Di pokok bunga yang berbunga putih inilah sering kali berhimpunnya ulat-ulat berwarna hijau.




            Kita boleh tahu kehadiran ulat-ulat hijau itu melalui kehadiran tahinya yang berwarna hitam sebesar kepala mancis, bertaburan dan bergentel-gentel di sekitar pokok berkenaan. Ulat ini matanya berwarna putih, ada ekor kontot di buntut. Berhampiran mulutnya pula ada macam jari-jari kecil yang agak tajam dan keras.
            Bila lihat ada tahi hitam bergentel-gentel, saya akan cari ulat itu, dari ranting ke ranting. Saya akan tarik ulat-ulat yang sedang merayap pada daun dan ranting. Walaupun ia mengerekot ke kiri dan kanan, cuba menggigit jari saya sambil keluarkan liurnya yang berwarna hijau, saya tidak peduli. Ulat-ulat hijau yang sebesar jari kelengkeng budak hingga sebesar ibu jari orang dewasa itu akan saya kendung dalam baju yang dipakai. Kadang-kadang saya dapat sampai 15 ekor.
            Ia menguit-nguit dalam kendungan baju saya dan mengeluarkan liur hijaunya. Ada juga yang cuba memanjat baju saya, kaki dan perutnya yang lembik itu berdenyut-denyut... nyut... nyut... nyut.
            Apabila sudah habis dikutip, ulat-ulat itu saya letak di tanah, dan saya geletek pinggangnya. Bila dicucuk pinggang kanan, zuupp... ia membengkokkan badan ke kanan. Bila dicucuk pinggang kiri, ia mengerekot ke kiri. Saya akan buat begitu sampai ulat-ulat berkenaan letih, sampai habis air liurnya.
Paling seronok ialah saya akan ambil ulat yang paling besar dan letakkannya di atas bibir jadi macam misai. Bila ada misai, saya rasa macam sudah dewasa. Saya  berasa seronok apabila ulat itu menguit-nguit di atas mulut dan menggigit-gigit bibir saya. Bau badannya yang hanyir menusuk ke hidung saya, tapi saya sukakannya. 
Apabila nampak saya membuat misai dengan ulat berkenaan, emak dan kakak saya akan menjerit-jerit dari jauh sebab terlampau geli. Tapi, lagi mereka geli, lagi saya suka. Saya akan lempar ulat itu pada kakak saya. Mereka lari lintang pukang sambil menjerit ketakutan.
            Kemudian, saya ambil semula ulat-ulat tadi, kendung dalam baju dan berdiri menghadap jalan. Apabila ada motosikal lalu, saya akan lempar supaya ia mati dilenyek tayar motosikal penduduk kampung kami.
            Paling saya suka kalau ketika itu seorang mak cik penjual kain lalu di depan rumah kami. Namanya Kak Boyah. Kak Boyah ini peramah, becok mulutnya, dia berjual kain keliling kampung dengan berjalan kaki. Apabila saya nampak Kak Boyah, saya akan membaling ulat tersebut ke arahnya.
            Apalagi, terjerit-jerit dan terlolong-lolong ketakutanlah Kak Boyah. Saya cukup suka mengusik Kak Boyah. Sampaikan, kalau saya ternampak Kak Boyah lalu, saya akan cepat-cepat cari ulat hijau tadi, dan membalingnya ke arah Kak Boyah. Saya suka dengar dia menjerit, melolong-lolong dan lari lintang-pukang sambil menjunjung kain jualannya.
            Sudah lebih 40 tahun berlalu dan saya pun sudah menetap di Kuala Lumpur,  tetapi kalau Kak Boyah terjumpa emak saya, dia akan bertanya: “Mana anak engkau yang dulu suka lempar aku dengan ulat?”
            Begitulah indahnya zaman kanak-kanak. Dahulu, kita tidak tahu erti geli dan takut. Yang kita tahu hanyalah ketawa.
Sewaktu saya kecil, ulat adalah salah `seekor’ kawan baik saya. Anehnya apabila dewasa dan berkeluarga, saya jadi geli pula. Tetapi saya mengajar anak saya supaya menyayangi setiap haiwan yang ada di muka bumi ini, termasuklah ulat. Saya takkan benarkan mereka membunuh ulat seperti mana yang saya lakukan dahulu, walaupun seekor.
Kalau ada ulat yang memakan daun pokok bunga, saya akan minta alihkan ulat itu elok-elok, jangan sesekali dilempar ke tengah jalan supaya dilenyek kereta. Jangan buat apa yang saya buat dahulu. Zalim.
            Kenapa? Kerana ulat adalah makhluk yang bernyawa dan ada perasaan. Kerana ulat merupakan haiwan yang dicipta oleh Tuhan untuk memperlihatkan kewujudan dan keagungan-Nya. Kerana pada haiwan hodoh ini ada keindahan; keindahan pada mata, keindahan pada hati. Kerana haiwan kecil inilah yang mengindahkan alam dan kehidupan kita yang singkat, di bumi yang sementara ini.



SEKARANG SAYA ingin ceritakan pada anda sedikit fakta menarik, mengapa kini saya menyayangi ulat dan mengapa saya katakan ulat adalah haiwan yang menakjubkan. Saya juga pernah membaca sebuah artikel yang menarik. Artikel itu menyebut; ulat daun atau ulat beluncas menetas dari  butir-butir telur putih dan halus di belakang sehelai daun. Saiznya sangat kecil dan berat 0.55 miligram saja. Ulat ini kemudian memakan daun yang ada di pokok berkenaan dan dalam masa dua minggu saja, panjangnya boleh mencecah lima sentimeter.
            Untuk pengetahuan anda, sementara badannya memanjang, kulit ulat ini tidak tumbuh lagi dan sedia untuk ditanggalkan. Setelah lima enam kali bertukar kulit, ulat dewasa ini akan merangkak meninggalkan tumbuhan yang telah menjadi tempat tinggalnya selama ini untuk mencari tempat yang selamat dan sesuai untuk proses kehidupan seterusnya.
            Di sana, ulat tersebut akan membina sebidang hamparan seni seperti sutera, kemudian menggantung badannya secara terbalik. Sepasang kakinya yang paling belakang akan mencengkam hamparan sutera tadi manakala kepalanya menghala ke bawah, membengkok seperti huruf J. Di situlah ia bergantung, berdiam diri, menukar kulitnya buat kali terakhir sebelum memasuki satu lagi fasa metamorfosis yang sangat penting dalam kitaran hidupnya.
            Detik demi detik beredar, ulat berkenaan perlahan-lahan menanggalkan lapan pasang kaki dan kapsul kepalanya yang telah pun menyimpan enam lensa matanya. Kulitnya kemudian ditanggalkan menjadi selaput keras berwarna putih yang kita namakan sebagai kepompong.
            Di dalam kepompong, bahagian-bahagian ulat ini dihancurkan untuk membentuk tubuh seekor haiwan baru. Dua minggu berlalu, kepompong mula retak dan keluarlah seekor haiwan yang sangat cantik – seekor rama-rama. 




            Lalu terbanglah rama-rama tadi, dengan sayapnya yang berkilau dan berwarna-warni, beraneka ragam coraknya, memegunkan setiap mata yang memandang. Si rama-rama ini mengepak-ngepak meninggalkan kepompongnya lalu melayang ke udara untuk menghirup nyamannya udara ciptaan Tuhan, menyedut manisnya madu bunga, tinggi... dan terus tinggi.
            Rama-rama akan hinggap dari bunga ke bunga, menari-nari di udara dengan sayapnya yang cantik itu, berkejar-kejar ke kiri dan kanan, lalu singgah di kelopak bunga yang sedang mekar. Kehadiran si rama-rama membuatkan kita berasa asyik. Kita terpana dengan kecantikannya, hingga terlupa sebentar pada tekanan hidup yang sepanjang masa menghimpit hidup ini.
            Setiap kali melihat rama-rama, ia membangkitkan emosi romantis. Kita terbayang pada wajah orang yang disayangi. Terbit rasa rindu padanya. Dari si rama-rama ini tercipta ilham pada sang penyair untuk mengarang puisinya. Dari si rama-rama juga terpantul ilham pada sang pelukis untuk merakam keindahan alam ciptaan Tuhan.
            Setelah lama menyerikan alam ini - dan agaknya setelah bosan melihat rakusnya manusia merosakkan alam ciptaan Tuhan - rama-rama yang cantik ini akan mencari sehelai daun yang paling sesuai dan selamat, lalu bertelur di bahagian bawahnya. Dari telur-telur halus itulah berulangnya kembali kitaran hidup si rama-rama. Begitulah hebatnya seekor ulat, suatu makhluk kecil yang hodoh dan geli-geleman kita melihatnya.
            Sekarang tahukah anda, membunuh seekor ulat bererti juga membunuh seekor rama-rama. Membunuh seekor rama-rama bererti membunuh keindahan yang dianugerahkan oleh Tuhan untuk kita nikmati. Oleh kerana itu, saya melarang anak-anak saya membunuh ulat.
Ulat dan rama-rama sebenarnya mengajar kita tentang keajaiban seekor haiwan yang jarang diambil peduli. Ia mengajar kita supaya sentiasa berusaha mengubah diri, dari satu tahap ke satu tahap, ke arah yang lebih baik. Lakukan dengan tekun, jangan putus asa, reda serta yakin dengan kebesaran-Nya.
Selepas melalui kepayahan inilah nanti akan terhasilnya kejayaan dan kita akan lahir semula sebagai seorang manusia baru, yang mengabdikan hidup untuk memakmurkan bumi Tuhan ini, seperti mana yang telah dipesan kepada kita sejak terciptanya Adam dan Hawa lagi.
            Nanti apabila anda melihat seekor rama-rama, ingatlah pada firman Allah, “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang menyempurnakan akal fikirannya.”  - Ali-Imran: 190.



(NOTA: Kak Boyah telah meninggal dunia sekitar tahun 2015. Semoga Allahyarhamah telah memaafkan saya, dan rohnya kini berbahagia bersama umat-umat-Nya yang soleh dan solehah.)





Si Raja Bisul



Naamanya Shaharudin. Dia adalah jiran saya di kampung. Rumahnya betul-betul di hadapan rumah saya. Walaupun usianya empat tahun lebih tua daripada saya, namun saya agak rapat dengannya. Sewaktu kanak-kanak, saya selalu juga mengikutnya pergi mandi sungai, memancing dan menyauk ikan, melastik burung dan merayau.
            Anak Felda, begitulah. Celik mata, merayau. Lepas sarapan, merayau. Kebetulan rumah kami tidak jauh dari kebun getah dan sungai, apa lagi, selagi tak lapar jangan cari kami. Kerana, dari kebun yang penuh nyamuk, pacat dan agas serta sungai yang keruh airnya itulah kami belajar erti kelangsungan hidup.
Tidak lama dahulu seorang kawan lama saya di kampung, Selamat namanya, menghantar status di Facebook menunjukkan gambar dia berjumpa dengan Shaharudin di Kelantan. Kedua-dua mereka berkahwin dengan mek Kelantan dan entah apa nasib, terserempaklah dua orang kawan saya ini di sana.
Selamat lebih tua tiga tahun usianya daripada saya. Saya rapat dengannya, nanti saya ceritakan di bab lain.
            Nampak saja gambar itu, saya pun terus mencelah. “Woi… mana kau jumpa Badin tu Mat? Keh keh keh…” Orang kampung memang begitulah, suka menggelar orang. Shaharudin jadi Badiin.
            Tanpa saya duga, si Badin ini pula menjawab, “Woi Benjol…!!”
            Errkkk... saya terkedu sekejap. Ceh, dia ingat lagi nama gelaran saya! Adoi, sudah berpuluh tahun saya tidak dengar gelaran itu, tiba-tiba Badin pecah rahsia. Alamak, ini bukan rahsia sembarangan. Hanya adik beradik dan kawan-kawan yang dekat rumah saya saja yang tahu gelaran Benjol ini.
            “#X&%$# kau Badin! Kahkahkah...” saya balas usikannya itu, berserta emoji ketawa.
Untuk pengetahuan anda, semasa saya kecil dulu bahagian belakang kepala saya ditumbuhi bisul. Lebih kurang buah delima besarnya. Waktu itu umur saya sekitar tiga tahun. Sakitnya bukan main, kata emak, abang dan kakak saya, dek kerana sakitnya itu, sepanjang masa saya meraung dan menangis
 Benjol itu merening, terik seperti belon hendak pecah. Tetapi seperti yang saya katakan, oleh kerana hubungan kejiranan begitu rapat dan akrab, gelar menggelar itu perkara biasa. Kebetulan pula nama saya Zul, lalu kawan-kawan menggelar saya Benjol. Lebih tepat lagi, Zul Benjol. Jahanam!
            Bisul di kepala saya itu dibedah di Hospital Segamat. Hospital itu letaknya di sebelah Sungai Segamat, berhampiran landasan keretapi.
            Mak saya selalu bercerita, sewaktu di hospital itu saya asyik menangis minta dihantar balik. “Nak balik mak.... nak balik mak!” Dan apabila sampai masanya, tempurung kepala saya terpaksa dikorek kerana nanahnya sudah merebak jauh.  Nanah hijau memancut keluar. Busuknya tidak terperi.
Akibat bisul itu, sampai sekarang di belakang kepala saya ada lubang kesan pembedahan membujur sepanjang satu sentimeter. Lubang itu membelah tempurung dan mencacatkan kecantikan kepala saya.  
Pada Mei 2012 saya pergi menunaikan umrah dan bertahalul dengan membotakkan kepala. Namun lubang itu agak dalam, si tukang gunting tidak dapat mencukur rambut yang tumbuh di situ. Maka tinggallah sebiji `pulau’ yang kelihatan mengerikan di belakang kepala saya.
Sampai di lobi hotel saya ditegur oleh seorang kawan, namanya Ustaz Ali. Dia bertanya tentang lubang di kepala saya. Saya pun menceritakan kepada Ustaz Ali perihal kisah bisul itu.
            “Ooo… aku ingat kan kepala kau tu kena kokak dengan drakula…”
            Jilake! Keh keh keh...



SEMASA DALAM Tingkatan dua, saya ada seorang kawan bernama Khudri. Dia berasal dari Felda Chemplak Barat, Labis. Lebih kurang 20 kilometer dari tempat tinggal saya.
            Suatu hari Khudri tunjukkan saya bisul yang tumbuh di lengannya, bawah sedikit dari siku. Khudri mengeluh, sejak akhir-akhir ini sudah beberapa kali dia kena bisul. Di betis, di paha dan di belakang. Kata doktor, darahnya kotor.
            “Aku nak operate lah bisul ni. Orang cakap lepas operate nanti tak kena bisul lagi,” kata Khudri.
            Saya angguk saja sebab bagi saya anak Felda ini, perkataan operate itu suatu yang besar maknanya. Kalau `bedah’ mugkin tidak bahaya, tetapi apabila disebut operate, bunyinya seperti serius dan akan dirawat dengan ubat-ubatan yang terbaik, sehingga sembuh.
            Begitu juga dengan accident. Bagi kami anak-anak Felda, accident merupakan hal yang serius dan besar. Ia membabitkan pertembungan dua buah kenderaan secara berdepan, boleh membawa maut atau cedera parah. Tapi kalau kemalangan, kami rasa tidak serius. Cedera ringan saja.
            Saya beritahu Khudri, kalau operate itu bagus untuknya, dan itulah saranan doktor, ikut sajalah. Mereka lebih tahu.
Tapi kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Selepas bisul itu dibedah, tumbuh bisul lain. Pecah satu, tumbuh dua. Pecah dua, tumbuh tiga.
Rupa-rupanya selepas dibedah, bisul mula bermaharajalela tumbuh di badannya. Paling ganas bisul itu tumbuh di kepala. Itulah bisul yang paling king pernah saya lihat. Lalu kami menggelar Khudri, Raja Bisul!
            Kesian kawan saya itu. Akibat serangan bisul, dia sering tidak dapat hadir ke sekolah. Sekejap sekejap, cuti. Sekejap sekejap, cuti. Belum sempat sekolah tutup dia dah cuti dulu.
            Nasib baik dia tak tahu saya dulu pun ada bisul dan digelar Benjol!

NAMANYA AMRI. Lemau saja orangnya. Suara pun dengar tak dengar. Duduk di dalam bilik Amri suka membaca kitab-kitab lama bertulisan jawi. Oleh kerana Amri berasal dari Kelantan dan lidah Kelantannya cukup pekat, kami menggelarnya Tok Guru.
            Tok Guru adalah kawan satu asrama semasa saya dalam Tahun Satu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1989. Cuma kami berlainan bilik. Biliknya di hujung berdekatan tandas, manakala bilik saya berhampiran tangga tengah dorm.
Suatu hari kami nampak pipi Tok Guru merening merah. Bulat dan membusut di tengah. Dah kenapa kau Tok Guru?
            “Bisul…” jawab Tok Guru bila kami bertanya.
            Kesian ada, nak tergelak pun ada. Bayangkan, sudah masuk universiti pun kena bisul lagi. Di pipi pula tu. Kami lihat segan sungguh Tok Guru pergi kuliah dengan pipi merening merah. Semakin hari kami lihat bisul itu semakin besar. Merah macam nak meletup.
            Suatu petang saya dan seorang kawan pergi ke bilik Tok Guru. Niat di hati hendak berjumpa dengan kawan sebiliknya, Shaharom, budak Melaka. Sampai saja di bilik Tok Guru, kami terperanjat.
            Kami lihat bisul di pipi Tok Guru sudah tiada, tetapi pada kulit pipinya ada luka berbentuk bulat sebesar muka cawan. Kami bertanya kepada Tok Guru, dah kenapa pipi kau ni Tok Guru?
            “Kawe bekam denge gelah…”
            Kami terdiam. Laa… rupa-rupanya Tok Guru membuat bekam sendiri menggunakan sebiji gelas untuk menyedut nanah dari bisul berkenaan. Caranya, dia panaskan gelas itu dengan api lilin, kemudian tekap bibir gelas itu mengelilingi bisul di pipinya. Memang bisul itu meletup, tapi kerana gelas itu juga panas, dengan kulit pipinya sekali turut meletup!
            Nah, untuk lebih seminggu Tok Guru terpaksa pergi kuliah dengan pipi bertampal. Apabila luka itu sudah kering, tinggallah parut bulat sebesar cawan di pipinya… sampailah sekarang.
Adoiyai…  

**************

PADA 2014 sewaktu menunggu nombor giliran dipanggil oleh mesin automatik di sebuah hospital swasta, saya terserempak dengan seorang kawan lama. Namanya Sukor, tinggal di Sentul, Kuala Lumpur.
            “Kau sakit apa Kor?” saya bertanya.
            Dia pun menunjukkan bisul yang tumbuh di atas lututnya. Uuuiii… besar dan lebar. Merah dan merening. Kata Sukor, doktor mencadangkan supaya bisul itu dibedah sebelum menjadi bertambah serius.
            “Aku ni sebenarnya ada kencing manis. Tinggi sangat. Dah beberapa kali kena bisul. Tak taulah, nak operate ke tak. Takut jugak…” katanya.
            Tanpa mengenakan sebarang bayaran, saya terus menasihatkan Sukor supaya ikut saja cakap doktor. Saya sendiri sudah tiga kali dibedah. Di pinggang, bahu dan yang terakhir di tapak tangan. Tidak ada masalah pun. Saya boleh bersukan semula seperti biasa. Saya beritahu Sukor, doktor berikan cadangan selepas membuat pemeriksaan teliti dengan peralatan-peralatan moden, berilah mereka kepercayaan.
            “Ikut aje cakap doktor, mereka lagi tau,” saya ulangi nasihat tadi.
            “Okeylah…” Sukor terima nasihat saya.
            Apa khabar Sukor? Sebulan kemudian saya mendapat berita dari seorang kawan bahawa Sukor sudah meninggal dunia. Ajalnya sampai semasa doktor membedah bisul di lututnya itu.
            Innalillah hiwainna ilaihi rajiun…
            Ya- Allah, nyawanya melayang hanya kerana bisul? Menurut kawan itu, kematian Sukor ada kaitan dengan penyakit darah tingginya yang berada di tahap serius dan penyakit itu menyerang semasa pembedahan sedang bisul di atas lututnya dijalankan.
Apabila mendengar khabar kematian Sukor itu, saya segera memanjatkan doa agar roh sahabat saya ittu ditempatkan bersama umat-umat-Nya yang soleh. Kemudian saya memanjatkan kesyukuran kepada Dia, Yang Maha Agong lagi Maha Pengampun, kerana memberikan saya peluang untuk terus hidup sehingga kini.
Jika Dia mahu megambil nyawa saya semasa saya kecil, akibat bisul yang membusut di belakang kepala, tentu anda tidak dapat membaca tulisan saya ini.


Semoga sejahtera di sana, sahabatku Dee




Salah sebuah buku yang saya ketuai penerbitannya pada tahun 2015 ialah koleksi terbaik kartun Hello Bos, karya kartunis Zaidi Md. Yusop atau lebih dikenali sebagai Dee. Sebagai ketua Unit Buku di Utusan Karya Sdn. Bhd., saya berpendapat, kartun Hello Bos ini sangat istimewa. Ia telah disiarkan sejak 1991, mempunyai pengikut yang cukup ramai, sudah dianggap sebagai siri kartun lejen dan Dee sendiri adalah kartunis ikon bagi akhbar Utusan Malaysia.

Jangan sia-siakannya. Ini aset dan ikon kepada Utusan, kita perlu hargainya. Siri kartun Hello Bos perlu dihimpunkan dalam sebuah buku untuk menjadi koleksi kepada para peminatnya, juga sebagai dokumen sejarah dalam industri media dan dunia kartun negara.

Bos-bos semua setuju, dan seingat saya, kerja-kerja penerbitan ini bermula pada awal 2015 dengan sasaran untuk dilancarkan pada Pesta Buku Kuala Lumpur, penghujung April. Tetapi jangan terbitkan buku ini sekadar siap dan tempel-tempelan. Ia mesti ada kelainan.

Justeru, saya minta Dee tulis hal-hal di belakang tabir yang selama ini tidak diketahui oleh pembaca. Antaranya, siapa yang mula-mula mengetengahkan bakatnya sebagai kartunis? Dari mana dia mendapat idea hingga terhasillnya Hello Bos? Dan yang penting, siapakah sebenarnya watak Rosli, Bos, Liza dan watak-watak lain dalam kartun berkenaan. Mereka sebenarnya wujud, tetapi siapa? Adakah pekerja Utusan? Kenalannya kah?

Dalam buku itu juga Dee ceritakan pelbagai kisah di sebalik tabir, seperti hobinya mandi lombong semasa tinggal di Kampug Pandan Dalam, ada yang mendakwa kartunnya menghina Islam, menuduhnya memasang spy, dipelawa mengajar kartun di Korea Selatan, kena marah dengan cleaner, pekerja wanita menangis kerana mendakwa kartun Dee menyindir dirinya dan banyak lagi kisah-kisah lucu dan mengejutkan.

Kalau kartun Hello Bos yang disiarkan di Utusan hanya hitam putih, untuk buku ini kami tambah warna. Setiap halaman ada nota lawak. Banyak lagi kelainan yang kami buat dan Dee bekerja cukup tekun untuk menyudahkannya.

Umur kami hampir sebaya, Dee tua beberapa tahun saja daripada saya. Dee seorang yang sangat baik, sopan dan menghormati sahabat, maka kami bekerja dengan cukup seronok. Masing-masing ada tugas lain yang perlu dibuat, tapi dalam masa yang sama, kami tetap laksanakan tugas ini dengan happy. Kami kejar deadline dan akhirnya...




Saya sudah lupa tarikh tepatnya, tetapi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015, di PWTC, terlancarlah buku istimewa dari Dee dan Utusan Karya Sdn. Bhd. berjudul ROSLI MENGAMUK: 24 TAHUN KARTUN HARIAN HELLO BOS. Riuh rendahlah majlis pelancarannya, ditambah pula pelawak Joey jadi juruacara. Memang pecah perutlah beb. Hahaha...

Kami merancang untuk menghasilkan sebuah lagi koleksi sempena 25 tahun Hello Bos, tapi keadaan tidak mengizinkan. Rancangan itu terpaksa ditangguhkan. Nantilah sampai waktu sesuai, kami terbitkan koleksi kedua. Dee meneruskan kartunnya, saya pula dengan kerja-kerja lain di Unit Buku dan majalah.



30 November 2018, hari terakhir kami bertemu sebagai rakan sekerja. Saya mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan oleh Utusan, manakala Dee mahu meneruskan kerjayanya di situ. Ia hari yang amat sedih untuk kami semua. Memang sukar untuk kami yang telah berpuluh-puluh tahun bersama Utusan, hendak meninggalkan syarikat ini. Bagi yang tinggal pula, termasuk Dee, mereka turut bersedih kerana kehilangan kawan-kawan.

Selasa, 12 Februari lalu saya ke Utusan untuk satu urusan. Tidak disangka, salah satu tugasan yang perlu saya lakukan adalah bersama dengan Dee. Kami menyudahkan kerja itu pada ukul 7.10 malam. Dan tidak disangka juga itu adalah pertemuan terakhir saya dnegan Dee.



Hari ini saya mendapat berita mengejutkan -- Dee telah kembali ke pangkuan Ilahi pada pukul 7.15 pagi ini, akibat sesak nafas. Betul ke? Kan Dee muda lagi, baru 53 tahun. Dia sihat. Minggu lepas pun dia macam biasa saja, tidak mengadu sakit.

Tapi begitulah fitrah yang telah ditentukan Ilahi. Sampai waktunya, kita akan kembali kepadaNya.
Tidak kira tua atau muda, sihat atau sakit...
kerana dari situlah kita datang, sampai detiknya ke situ juga kita kembali, untuk menemui Dia yang mencipta kita. Sesungguhnya tubuh dan roh ini hanya pinjaman semata.

Tentunya saya dan sahabat-sahabat di Utusan terkejut dan bersedih dengan pemergian Dee secara tiba-tiba. Tapi tiada apa yang boleh kita lakukan, kecuali menghadiahkan doa yang baik
untuk arwah dan bersedia pula dengan giliran masing-masing.

"Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai."

(Buku ini akan jadi kenangan saya dengan arwah Dee. Saya juga kehilangan sahabat penyokong Liverpool...)




Comments

Popular posts from this blog

Intro

Semoga sejahtera di sana, sahabatku Dee

KUIH MENANGIS...